saya
berdiri di luar Pusat Kurungan Haiwan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL). Bunyi kucing mengiau-ngiau jelas kedengaran. Dari luar kurungan
itu saya lihat setiap sangkar diletakkan dua hingga tiga ekor
kucing-kucing jalanan yang telah ditangkap sekitar bandar raya Kuala
Lumpur, seminggu lalu.
Saya lihat kucing-kucing jalanan
itu meronta-ronta meminta dilepaskan. Ada yang menggigit besi, memanjat
dan menguit-nguit kaki dan tangan seolah-olah minta dikasihani. Saya
pandang ke arah seekor kucing yang berwarna kelabu yang asyik
memerhatikan gerak-geri saya sedari tadi. Bulunya sungguh comel dan
lembut.
Saya berasa hairan, kenapa orang sanggup membuang
kucing yang comel dan jinak sebegini? Tidak berhati perutkah?
Wajah-wajah kucing yang merenung tajam ke arah saya seolah-olah meminta
belas kasihan untuk dibebaskan amat mengharukan. Pusat ini ibarat
destinasi terakhir sang kucing jalanan ini...
Ya saya
tidak sanggup memandang mata kucing yang bersinar jernih ini dan
mengharapkan saya datang membelai, menepuk-nepuk dan mengusap-usap
kepalanya. Sayang sungguh! sepatutnya kucing-kucing comel ini tidak
seharusnya berada di dalam kurungan ini. Kehidupannya adalah bersama
kita, manusia yang dianugerahkan akal fikiran. Kucing-kucing jalanan ini
cuma ingin menumpang kehidupan kita. Saya tertanya-tanya apa kesalahan
dan dosa kucing jalanan ini sehingga begitu banyak terpaksa ditangkap
dan dikurung di sini?
Terdetik perasaan simpati mendalam
dan kasihan dengan nasib-nasib kucing yang comel ini. Sungguh sadis,
apakah dosa-dosa kucing-kucing liar ini sehinggakan ada orang sanggup
membuang dan menghumbannya ke pasar-pasar, tepi jalan, longkang dan
tempat-tempat sunyi lain tanpa simpati?
Sudahlah banyak
bayi-bayi tidak berdosa dibuang, kini kucing pula menjadi mangsa! Aduh!
Sedih! Sedih!. Bayangkan selepas dibuang, pada waktu malam di manakah
kucing comel ini hendak mencari tempat perlindungan dalam kesejukan?.
Kalau hujan, bagaimana? Tentulah basah kuyup! Tanpa sedar, air mata saya
bergenang.
Ya saya sebak apabila memikirkan nasib
kucing-kucing comel ini yang tidak dipedulikan orang lagi. Mahu tidak
mahu, kucing-kucing jalanan ini terpaksa ditangkap dan dikurung supaya
tidak mengotorkan tempat awam, menyelongkar tong sampah untuk mencari
makanan dek kelaparan.
Maka tidak hairanlah ada diantara
kucing-kucing liar ini yang dibawa ke dalam kurungan ini hidup penuh
dengan kekotoran dikerumuni oleh lalat-lalat sehinggakan ada yang
terkena penyakit kurap. Saya tertanya-tanya sendirian, di manakah nilai
kemanusiaan kita ini yang hidup di rumah banglo serba mewah, kereta
mewah dan dunia siber yang serba canggih ini? Kita sudah hilang
kewarasan dan sifat berperikemanusiaankah?
Hampir sejam
berlalu. Saya terus berdiri di luar kurungan memerhati nasib
kucing-kucing comel ini dengan dada penuh sebak. Saya
tertanya-tanyamasihkah ada sinar harapan untuk kucing-kucing jalanan
ini?
Tengah hari itu, saya lihat beberapa orang pekerja
India baru sahaja selesai mencuci najis setiap kurungan. Saya juga
melihat bekas-bekas makanan sudah terisi untuk santapan kucing-kucing
liar ini. Nah! Kini saya lihat kucing-kucing liar ini berebut melahap
makanan. Dalam sekelip mata, kucing-kucing ini menghabiskan makanan yang
diisi, Ya, kucing-kucing ini kelaparan! Selesai makan, saya lihat
kucing-kucing jalanan ini menjilat bulu, kaki dan tangan merapi diri
masing-masing.
Ya, kucing ini sihat sementara berada di
sini. Tapi selepas ini apakah nasib kucing-kucing comel ini? Saya
mendapat tahu pekerja-pekerja di situ memberi makanan kepada
kucing-kucing jalanan ini sebanyak dua kali sehari, pagi dan petang.
Setahu saya, kucing-kucing jalanan ini akan dikurung di situ hanya dalam
tempoh seminggu sahaja. Dalam tempoh itu juga, pihak DBKL akan
war-warkan kepada orang ramai yang berminat dlam web di Internet supaya
datang membelinya di Pusat Kurungan Haiwan DBKL dengan harga RM15
seekor.
Saya diberitahu Chandarakant Pathi, Ketua Seksyen
Kawalan Pest Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, harga tersebut
dianggap munasabah dan berpatutan bagi menampung kos makanan dan
rawatan.
Pihak DBKL tidak mahu memberi kucing liar itu secara
percuma kepada orang ramai bimbang ada pihak yang tidak
menghargainya."Lagipun, kalau diberikan secara percuma mungkin orang
akan melepaskan kucing itu balik!" jelas Chandarakant Pathi lagi.
Selepas seminggu, jika tiada sesiapa yang datang membeli, pihak DBKL akan melupuskan dengan cara menyuntik racun
pentobarbital.
Saya
tidak dapat bayangkan, apabila kucing-kucing comel ini tidak ada
pembelinya dibawa ke katil PVC hitam. Seorang doktor haiwan tanpa
berlengah memasukkan cecair
pentobarbital ke dalam jarum suntikan.
"Sruuuuupppp..."
jarum suntikan itu ditusuk ke bahagian kaki hadapan kucing itu. Seekor
demi seekor kucing-kucing dikeluarkan dari sangkar dan disuntik. Gelagat
riang dan lincah kucing-kucing sebelum ini mula menghilang. "Miowww..."
itulah ngiauan terakhir seteal jarum ditusuk ke bahagian badan kucing
comel itu. Ngiauan terakhir kucing comel itu seakan-akan mengucapkan
selamat tinggal kepaa pekerja-pekerja di Pusat Kurungan Haiwan DBKL yang
selama ini menjaga dan memberi makan secara percuma kepadanya.
Badan kucing-kucing yang telah disuntik cecair
pentobarbital mula
kelihatan lemah. Selang beberapa saat matanya yang dulunya bersinar
kini semakin terpejam.. Gerak badan kucing comel itu sudah mula lemah
dan tidak bergerak langsung. Nyawa kucing comel itu sudah berakhir.
Kesan ubat yang ditusukkan ke dalam badannya sungguh kuat, dalam
beberapa saat sahaja membawa maut.
Kini nasib
kucing-kucing jalanan yang berada dalam kurungan di hadapan saya bakal
mengalami nasib yang sama selepas seminggu berada di sini, jika tidak di
beli orang.
Jasad kucing-kucing jalanan ini akan ditanam
di suatu kawasan yang dikhaskan berhampiran pusat kurungan berkenaan.
Begitulah nasib si kucing jalanan...
Sedih sungguh bila
memikirkan kucing-kucing ini terpaksa disuntik dan dibunuh disebabkan
tiada sesiapa hendak membeli dan membelanya. Tambah sedih...mengapa
bangsa kita yang terknal dengan sifat pemurah dan penyayang tidak lagi
sayang kepada kecing, banatang yang menjadi kesayangan Nabi Muhammad
S.A.W. Ayuh... di manakah semangat pencinta haiwan, pembela binatang dan
orang yang kononnya sayangkan kucing?.Kemanakah perginya orang-orang
kita yang dikenali ramai dengan sifat yang baik hati, penyaynag dan
pemurah yang selalu diwar-warkan selama ini? .Mana Datuk, Tan Sri, VVIP
atau Yang Berhormat yang suka menderma dan gambar terpampang di
dada-dada akhbar. Kenapa tiada sesiapa yang sudi menyelamatkan
kucing-kucing jalanan ini?
Kalau betul sayangkan kucing,
marilah beramai-ramai datang beli kucing-kucing jalanan ini. Mungkin
juga ada orang kaya, jutawan, VVIP, Datuk, Tan Sri atau dermawan yang
bersifat pemurah sanggup membina "Laman Kucing ataupun pusat penjagaan
kucing-kucing jalanan di luar sana. Opps! terlupa! jika DBKL boleh bina
taman burung, taman rama-rama dan bermacam-macam jenis taman lagi apa
salahnya wujudkan pula taman-taman kucing. Hah! Molek sungguh, kalau
sebuah taman kucing diwujudkan di negara kita. Saya rasa tentu ramai
yang berminat untuk melihat dan menatap pelbagai jenis kucing yang
dilepas bebas menempatkan segala spesis kucing di seluruh dunia termasuk
kucing-kucing jalanan yang menanti maut tadi.
